Sabtu, 9 Jun 2018 | 11:11am
PROTON Saga Aeroback terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Tempinis, di Jertih, semalam. - Foto ihsan pembaca
PROTON Saga Aeroback terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Tempinis, di Jertih, semalam. - Foto ihsan pembaca

Suami isteri maut, anak cedera motosikal dirempuh kereta

JERTIH: Sepasang suami isteri maut, manakala anak lelaki mereka berusia lapan tahun cedera apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta Proton Saga Aeroback dalam kejadian di Kampung Tempinis, di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 petang, Mat Halimi Ibrahim, 31, yang juga buruh dari Kampung Pulau Berangan, Bukit Kenak, maut di tempat kejadian, sementara isterinya, Nik Malini Nik Omar, 31, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Jabi.

Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata nahas dipercayai berlaku apabila motosikal Honda EX5 dinaiki tiga beranak itu dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

Ketika kejadian, katanya, mangsa sedang dari arah Kampung Tembila menghala ke Kampung Renek dan setiba di jalan Kampung Tempinis, kereta terbabit dari arah bertentangan dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas serta memasuki laluan motosikal.

"Akibat perlanggaran itu, pasangan suami isteri terbabit maut kerana cedera parah. Anak lelaki mereka, Mohd Haziq Daniel Mat Halimi, 8, yang juga murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Tempinis, dihantar ke Hospital Besut untuk menerima rawatan.

"Pemandu Proton Saga Aeroback berusia 49 tahun dari Kampung Lay Out Hilir, Kg Jabi, dan bekerja sendiri pula cedera di bahagian kepala serta dirujuk ke Hospital Besut," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X