Selasa, 12 Jun 2018 | 11:58am
KANAK-KANAK lelaki berusia lima tahun dikenali sebagai Rizky yang ditinggalkan bapa selepas terbabit dalam kemalangan di Hospital Serdang, 21 Februari lalu.

2 bulan siasat kes Rizky

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan bagi menyiasat termasuk mengesan waris kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikenali sebagai Rizky yang ditinggalkan bapa selepas terbabit dalam kemalangan di Hospital Serdang, 21 Februari lalu.

Pelindung Kanak-Kanak JKM Subang Jaya, Mohd Hafifi Mohd Ariff, berkata jangkaan tempoh masa itu berdasarkan lokasi warisnya yang menetap di Sarawak.

"Bagi kes Rizky, kami menjangkakan siasatan akan mengambil masa kira-kira dua bulan memandangkan datuk dan neneknya berada di Sarawak ketika ini.

"Difahamkan mereka akan melawat Rizky pada raya nanti, namun belum menetapkan tarikh perjumpaan itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Hafifi berkata, pihaknya melakukan siasatan mengikut prosedur ditetapkan JKM iaitu memastikan individu yang tampil adalah waris sebenar kepada kanak-kanak itu.

"Pada masa yang sama, kami juga akan menilai pergaulan antara kanak-kanak itu dengan waris sama ada mereka selesa atau sebaliknya. Sebolehnya, kami mahu menyerahkan kanak-kanak itu kepada waris, namun ia bergantung kepada keputusan Rizky juga sama ada memilih untuk tinggal bersama mereka atau sebaliknya.

"Ini kerana keputusan itu akan dibuat mahkamah kanak-kanak memandangkan mereka menetap di pusat perlindungan atas perintah mahkamah," katanya.

Sebelum ini, Mohd Hafifi memaklumkan pihaknya menerima tiga panggilan daripada dua bapa saudara kanak-kanak itu dan seorang kenalan bapanya, Khamis lalu kira-kira jam 8 pagi sebaik laporan mengenai Rizky dikeluarkan NSTP, Rabu lalu.

Pada 6 Jun lalu, NSTP melaporkan Rizky ditinggalkan bapa kandungnya yang dikenali sebagai Mohd Faizal Adenan selepas dihantar ke unit kecemasan hospital berkenaan selepas kanak-kanak itu cedera parah di kepala akibat kemalangan jalan raya.

Lelaki itu menghilangkan diri ketika kanak-kanak berkenaan dalam rawatan dan gagal dikesan sehingga kini menyebabkan laporan polis dibuat pihak Hospital Serdang berhubung kejadian itu.

Rizky kemudian dihantar ke Wad Neuro Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan plastik berikutan kecederaan pada kepalanya selain pemeriksaan gigi dan tulang di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk menentukan anggaran usia kanak-kanak lelaki itu.

Pada 12 April lalu, Rizky dibenarkan keluar wad dan diserahkan kepada JKM Subang Jaya sebelum ditempatkan di Rumah Kebajikan Kanak-kanak BRDB Rotary sehingga penempatan tetap ditetapkan.

Berita Harian X