Khamis, 14 Jun 2018 | 7:16pm
SEBUAH rumah di tingkat 11 di perumahan Flat Sri Selangor di Jalan San Peng, Kuala Lumpur musnah manakala sebuah lagi yang terletak di tingkat atas terbakar 80 peratus dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi tadi. - Foto NSTP

2 unit musnah di Flat Sri Selangor

KUALA LUMPUR: Dua unit rumah di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 11.40 pagi tadi.

Kebakaran bermula di sebuah unit di tingkat 11, yang kemudiannya merebak ke sebuah unit lain di tingkat 12.

Rumah di tingkat 11 itu musnah sepenuhnya, manakala rumah di tingkat 12 musnah 80 peratus.

Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata dua pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan BBP Pudu membabitkan 18 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika sampai, api sudah marak dan merebak ke sebuah rumah flat yang terletak di tingkat 12.

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.24 tengah hari, namun rumah pertama yang terbakar, dipercayai tempat kebakaran bermula musnah 100 peratus dan tidak dapat diselamatkan.

"Rumah di tingkat 12 terbakar 80 peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khirudin berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku berikutan tiada penghuni di kedua-dua rumah itu ketika kejadian.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian terbabit.

Sementara itu, seorang penghuni dikenali sebagai Ida, yang berjiran dengan rumah terbakar di tingkat 11 berkata, ketika kejadian beliau sedang mandi sebelum asap tebal berwarna hitam memenuhi ruang bilik mandi.

"Saya terus berhenti mandi dan keluar bilik air...dan mendapati sebahagian dalam rumah juga penuh dengan asap hitam.

"Saya terus mencapai anak perempuan dan lari keluar rumah kerana takut," katanya yang bersyukur api tidak merebak ke rumahnya..

Beliau kemudian menghubungi jiran dan memaklumkan rumah mereka musnah terbakar.

Berita Harian X