Jumaat, 15 Jun 2018 | 4:16pm

Anggota tentera maut pulang ke kampung

TEMERLOH: Hasrat seorang anggota tentera menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 111.7, Lebuhraya Pantai Timur di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa, Lans Koperal Muhammad Hafiz Zahidan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmod, berkata ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan pulang ke rumah neneknya di Jengka, Maran.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa merempuh sebuah MPV dinaiki enam beranak yang berhenti di lorong kecemasan. Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan.

"Difahamkan MPV berkenaan berhenti di lorong kecemasan untuk menukar pemandu sebelum dirempuh motosikal mangsa," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Zundin berkata, mangsa yang bertugas di Kem Imphal, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur bercuti sempena Aidilfitri sehingga 19 Jun ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini, untuk bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian cuaca baik, manakala keadaan jalan lurus dan kering, terdapat kesan brek di lorong kecemasan.

"Kita sudah mengambil sampel darah dan air kencing mangsa untuk ujian toksikologi. Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X