Sabtu, 16 Jun 2018 | 2:33pm
MOHAMMAD Aliff Najwan Md Nayan maut apabila motosikal ditunggang terbabas lalu bertembung sebuah kereta di Jalan Pokok Jambu-Sidam Kanan berhampiran sebuah sekolah di Ladang Victoria, Padang Serai, Kulim. - Foto ihsan PDRM

Pemuda, warga emas maut dua kemalangan berasingan

KULIM: Seorang pemuda maut pada hari pertama Aidilfitri, semalam, apabila motosikal ditunggang terbabas lalu bertembung sebuah kereta di Jalan Pokok Jambu-Sidam Kanan berhampiran sebuah sekolah di Ladang Victoria, Padang Serai, di sini.

Nahas jam 2 petang di satu selekoh itu menyebabkan Mohammad Aliff Najwan Md Nayan,19, dari Sidam Kiri, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Atan, berkata siasatan awal mendapati, setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai terjatuh sebelum terseret di atas jalan raya.

"Pada masa sama, sebuah kereta dari arah bertentangan gagal mengelak lalu terlanggar mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu adalah yang kedua dalam tempoh kurang dua jam hari sama di Padang Serai, selepas seorang wanita warga emas maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan bersama suaminya di Jalan Serai Wangi.


WONG Gat Yong maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan bersama suaminya di Jalan Serai Wangi. - Foto ihsan pembaca

Dalam insiden jam 12.30 tengah hari itu, katanya, Wong Gat Yong, 78, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suami mangsa berusia 81 tahun pula cedera parah dan masih dirawat di Hospital Kulim.

"Hasil siasatan awal, pasangan suami isteri itu dipercayai cuba melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dari arah Tasek Gelugor, Pulau Pinang," katanya.

Ismail berkata, mayat mangsa kedua-dua kemalangan itu dihantar ke Bilik Forensik, Hospital Kulim, untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Katanya, dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X