Sabtu, 16 Jun 2018 | 3:24pm

Mayat lelaki ditemui di landasan kereta api

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki warga Pakistan ditemui dalam keadaan mengerikan di landasan kereta api di Kilometer 1.004 Jalan Sentul, pagi tadi.

Mayat Abdul Ghafar Khan, 36, ditemui dengan kedua-dua kaki terputus dipercayai digilis kereta api.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 9.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan, pegawai penyiasat menemukan kad pengenalan diri mangsa sebagai warga Pakistan.

"Mangsa dipercayai dilanggar kereta api yang dalam perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur ke hentian Sentul pada jam 7.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi.

Munusamy berkata, mangsa dipercayai ingin melintas landasan berkenaan sebelum dilanggar kereta api.

"Pemeriksaan Unit Forensik tidak menemukan sebarang unsur jenayah di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X