Sabtu, 16 Jun 2018 | 5:04pm
KETUA Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
KETUA Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

7 kematian dalam 4 hari

KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh kematian dicatatkan di Terengganu dalam tempoh empat hari pertama Op Selamat yang bermula 8 Jun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, terdapat 143 kemalangan dalam empat hari pertama itu, menurun berbanding 163 kemalangan bagi tempoh sama tahun lalu.

"Polis juga sudah mengeluarkan sebanyak 4,966 saman trafik, kebanyakannya kerana memandu laju, meningkat berbanding empat hari pertama Op Selamat tahun lalu," katanya, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, polis mengenal pasti 31 laluan berbahaya membabitkan jalan Persekutuan, negeri dan bandar di negeri ini.

Katanya, laluan terbabit agak berbahaya terutama ketika kemuncak musim cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Kita nasihatkan pengguna yang meninggalkan Terengganu dan mereka yang tiba di negeri ini dari negeri lain supaya sentiasa berwaspada terutama ketika berada di 31 laluan ini yang sudah menyaksikan banyak kemalangan maut dan ngeri.

"Orang ramai juga perlu merancang perjalanan supaya tidak terperangkap dalam kesesakan trafik terutama di plaza tol," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi menjaga keselamatan pengguna dan kelancaran trafik, polis melancarkan dua operasi besar-besaran di seluruh negara iaitu Op Selamat dari 8 hingga 22 Jun dan Op Lancar (23-24 Jun).

"Selain sebagai langkah mengurangkan kejadian kemalangan dan melancarkan trafik, kita turut mengambil kira kemungkinan berlakunya kes pecah rumah di kediaman yang tidak berpenghuni ketika musim perayaan.

"Polis sentiasa mengadakan rondaan dan memantau kawasan kejiranan bagi mencegah kejadian tidak diingini seperti itu daripada berlaku," katanya.

Mengulas lanjut, Aidi turut menasihatkan orang ramai mematuhi undang-undang lalu lintas antaranya tidak melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had laju, tidak menggunakan telefon ketika memandu dan memotong di laluan kecemasan atau di laluan berkembar.

"Hasrat kami bukanlah untuk mengeluarkan saman kepada pesalah, sebaliknya untuk menerapkan sikap lebih bertanggungjawab dan berdisiplin ketika memandu.

"Orang ramai juga perlu memeriksa kenderaan supaya berada dalam keadaan baik dan menghargai nyawa setiap pengguna jalan raya. Selain itu, dapatkan rehat secukupnya sebelum memandu dan berhenti di mana-mana hentian rawat dan rehat sekiranya mengantuk," katanya.

Berita Harian X