Isnin, 18 Jun 2018 | 1:35pm
BUMBUNG bangunan SK Pekan Telupid diterbangkan angin kencang, petang semalam. - Foto ihsan SK Pekan Telupid
TIADA kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. - Foto ihsan SK Pekan Telupid

Bumbung SK Pekan Telupid terbang dilanda angin kencang

TELUPID: Tiga blok bangunan menempatkan 12 bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid di sini, rosak selepas bumbung bangunan diterbangkan angin kencang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, selain tiga bangunan sekolah yang terjejas itu, surau sekolah, perhentian bas, sebuah rumah berkembar didiami guru dan dua blok rumah pekerja turut rosak.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Guru Besar SK Pekan Telupid, Dominic Nara, berkata ketiga-tiga blok bangunan sekolah itu tidak lagi selamat digunakan kerana bukan saja atap diterbangkan angin, malah mengalami kerosakan di bahagian siling.

Katanya, ia kali ketiga sekolah terbabit dilanda angin kencang dan kali ini kejadian paling teruk kerana mengakibatkan kerosakan besar.

"Ada guru yang menyaksikan kejadian itu semalam memberitahu bumbung sebuah blok yang menempatkan kelas Tahun Tiga dan Enam sudah terangkat, namun turun semula.

"Boleh dikatakan hampir setiap tahun ada angin kencang tapi cuma kerosakan kecil dan menurut penduduk, kawasan ini memang laluan angin. Bila angin kuat, bangunan turut bergoyang," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Difahamkan, sekolah itu mempunyai seramai 760 murid dengan 63 guru serta sembilan anggota kumpulan pelaksana (AKP).

Dominic berkata, beliau sudah melaporkan kejadian itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan lanjut.

Katanya, murid akan ditempatkan sama ada di bangunan lama sekolah, bilik pemulihan, bilik muzik dan kemahiran hidup untuk sesi pembelajaran apabila sekolah dibuka semula minggu depan sementara menunggu pembaikan bangunan.

Berita Harian X