Rabu, 20 Jun 2018 | 1:46pm
CUBAAN seorang lelaki mencuri sarang burung walit gagal selepas dia ditemui pemilik rumah sarang burung itu ketika sedang bersembunyi di dalam semak di Kampung Marudu Laut, Kota Marudu, kelmarin.

Pencuri sarang burung walit dicekup

KOTA MARUDU: Cubaan seorang lelaki mencuri sarang burung walit gagal selepas dia ditemui pemilik rumah sarang burung itu ketika sedang bersembunyi di dalam semak di Kampung Marudu Laut, dekat sini, kelmarin.

Kejadian itu disedari ketika pemilik dan anaknya yang membuat pemeriksaan di sekitar rumah sarang burung berkenaan kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata sebaik tiba pengadu mendapati pintu besi rumah sarang burung itu dipecahkan.

"Hasil pemeriksaan sarang burung dalam rumah itu sudah dicuri sehingga menyebabkan pengadu mengalami kerugian kira-kira RM4,000.

"Pengadu dan anaknya kemudian membuat pemeriksaan sekitar kawasan sarang sebelum terserempak dengan suspek yang sedang bersembunyi di dalam semak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Izaan berkata, suspek berusia 26 tahun berjaya ditangkap oleh pengadu sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

"Sepasukan anggota unit kereta peronda polis (MPV) tiba di lokasi kejadian pada jam 4.30 pagi dan menahan suspek bersama barang rampasan termasuk sarang burung yang dicuri.

"Hasil ujian air kencing suspek adalah negatif dan semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, suspek kini direman dan disiasat mengikut 457 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah masuk.

Berita Harian X