Rabu, 20 Jun 2018 | 5:32pm

Dua lelaki ditahan miliki pil kuda

KOTA BHARU: Dua lelaki disyaki pengedar ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam, selepas diberkas bersama pil kuda dan heroin yang dianggarkan bernilai RM1,590.

Mereka berusia 23 dan 40 tahun sebelum itu ditahan dalam serbuan berasingan di Kubang Kerian dan Kedai Buloh, di sini kelmarin, antara jam 1 tengah hari hingga 6.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata suspek diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan Unit Rondaan Bermotosikal, Balai Polis Kubang Kerian.

Katanya, serbuan pertama menahan suspek berusia 40 tahun yang ketika itu berada dalam bilik di sebuah rumah di Cabang Tiga Kedai Buloh, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari.

"Pemeriksaan pada badan tidak menjumpai sebarang barang larangan, namun terdapat beg kecil di atas meja dalam bilik itu yang mengandungi dua botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki heroin seberat 8.4 gram dianggarkan bernilai RM840.

"Suspek bersama barang kes dibawa ke balai polis untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pula, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang motosikal Honda Wave di hadapan sebuah pasar raya di Kubang Kerian, jam 6.40 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap begnya menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi 50 biji pil kuda bernilai RM750.

"Dia ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) ADB," katanya yang memberitahu seorang daripada suspek positif dadah jenis morfin.

Berita Harian X