Sabtu, 23 Jun 2018 | 7:15pm
LOKASI rumah pekerja mangsa seorang lelaki warga Nepal, Rajkumar Rai, 22, yang ditemui terbaring berlumuran darah dipercayai dibunuh di rumah pekerja di ladang buah-buahan di Kampung Gapis, Nyalas, Jasin. - Foto ihsan Polis
LOKASI rumah pekerja mangsa seorang lelaki warga Nepal, Rajkumar Rai, 22, yang ditemui terbaring berlumuran darah dipercayai dibunuh di rumah pekerja di ladang buah-buahan di Kampung Gapis, Nyalas, Jasin. - Foto ihsan Polis

Lelaki Nepal dibunuh rakan sendiri

JASIN: Seorang lelaki warga Nepal maut ditemui terbaring berlumuran darah di rumah pekerja di ladang buah-buahan di Kampung Gapis, Nyalas, di sini, semalam.

Mayat mangsa Rajkumar Rai, 22, ditemui terbaring oleh Pengurus Ladang yang ke rumah terbabit, kira-kira jam 12.15 tengahari.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, berdasarkan maklumat diberikan pengurus ladang terbabit berusia 69 tahun, mangsa dipercayai mati ditikam rakan senegaranya kerana hanya dua pekerja terbabit tinggal di rumah pekerja itu.

Menurut Arshad, mangsa dipercayai bergelut dengan rakan serumah iaitu suspek Raman Salami, 23, sebelum maut, berdasarkan kesan tompokan darah pada dinding dan permukaan tangga di rumah terbabit.

"Kedua-dua mereka adalah pekerja ladang terbabit dan pemeriksaan awal ke atas mangsa mendapati terdapat banyak kecederaan iaitu kesan tikaman dari senjata tajam, namun jumlah tikaman akan disahkan menerusi bedah siasat.

"Bagaimanapun, kita belum menemukan senjata yang dipercayai digunakan oleh suspek di tempat kejadian. Suspek pula dipercayai melarikan diri," katanya, ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata paramedik dari Hospital Jasin ke tempat kejadian di ladang buah-buahan seluas kira-kira 5.5 ekar itu menganggarkan mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

Arshad berkata gerakan mengesan suspek juga digerakkan dengan bantuan anggota anjing pengesan sekitar radius 5 kilometer, namun belum menjumpai sebarang jejak suspek.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta menghubungi polis kerana suspek dipercayai turut mengalami kecederaan.

Berita Harian X