Selasa, 26 Jun 2018 | 9:24pm

Nilai barang kemas, jam diketahui esok

KUALA LUMPUR: Tanda tanya berhubung nilai sebenar rampasan barang kemas dan jam tangan mewah di dalam baki 37 bagasi yang dirampas polis dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pavilion Residences di sini pada 18 Mei lalu bakal terjawab esok.

Menurut jemputan dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sidang media khas akan dilakukan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, pada jam 11 pagi esok di Tingkat 36, Menara KPJ.

Difahamkan, proses pengiraan barang kemas itu memakan masa lama berikutan ia memerlukan bantuan pakar barang kemas dan jam tangan mewah bagi mengetahui nilai sebenar barang berkenaan.

Pada 25 Mei lalu, polis mendedahkan nilai rampasan 35 daripada 72 beg dirampas berisi wang tunai termasuk 25 mata wang asing, mencecah RM114 juta.

Polis turut merampas 284 kotak beg berjenama mewah dalam serbuan berkenaan.

Rampasan itu dibuat pada 18 dan 20 Mei lalu berkaitan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 13 Jun lalu, Amar menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung rampasan jam tangan bernilai RM80 juta dalam bagasi dirampas seperti dilaporkan sebuah akhbar bahasa Cina.

Laporan itu menyatakan sejumlah 433 utas jam tangan dianggarkan bernilai RM80 juta ditemui dalam baki 37 beg yang dirampas dari kondominium berkenaan.

Bagaimanapun, Najib dalam kenyataannya Khamis lalu, menjelaskan kebanyakan barang yang dirampas itu adalah hadiah yang diberikan kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, serta anak perempuannya, dan tiada kaitan dengan 1MDB.

Beliau berkata, menantunya, Daniyar Nazarbayev, anak saudara Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev, juga memberi banyak hadiah kepada Rosmah.

Berita Harian X