Khamis, 28 Jun 2018 | 2:36pm

CEO GLC direman kes tender RM300 juta

PUTRAJAYA: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bergelar Datuk ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan tender bernilai RM300 juta.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM.

Suspek berusia 59 tahun itu ditahan di pejabatnya, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Difahamkan, suspek ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian beberapa tender projek pembinaan di Putrajaya bernilai kira-kira RM300 juta.

Sumber berkata, suspek dipercayai menyalahgunakan kuasanya bagi memanipulasi beberapa proses projek pembinaan yang sedang dijalankan.

"Projek itu pada awalnya dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender, namun disebabkan beberapa isu yang sengaja diadakan, kontraktor terbabit gagal melaksanakannya.

"Siasatan awal mendapati, isu yang disengajakan itu kemungkinan sudah dirancang awal sebelum kontraktor baharu dilantik. Difahamkan, kontraktor baharu itu dipercayai mempunyai kepentingan dengan suspek," katanya.

Difahamkan, SPRM turut melakukan serbuan ke tiga lokasi di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes itu.

SEORANG Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bergelar Datuk ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan tender bernilai RM300 juta. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X