Khamis, 28 Jun 2018 | 7:50pm
Seorang murid Sekolah Rendah Seksyen 27 dilaporkan maut apabila sebuah lori sampah yang dipandu laju telah melanggar seorang murid Sekolah Rendah dan maut tempat kejadian di seksyen 27, ketika murid melintas jalan. - Foto ihsan pembaca

Budak maut dilanggar lori sampah

SHAH ALAM: Seorang murid Tahun Tiga maut selepas dilanggar sebuah lori sampah di Jalan Selayang Satu 27/27a, Seksyen 27, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Nor Syazrina Damia Mohd Nazrul Rafizi, yang berusia sembilan tahun, maut di tempat kejadian selepas dipercayai cuba menyeberangi jalan bersama rakannya pada jam 1.35 tengah hari.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, hasil siasatan awal serta berdasarkan maklumat saksi kejadian, pemandu lori terbabit dipercayai dari arah Persiaran Klang ingin membelok ke simpang di jalan itu.

"Ketika membelok ke simpang itu, mangsa bersama rakannya dipercayai melintasi jalan secara tiba-tiba.

"Kawan mangsa berjaya melintas, namun mangsa bergesel lalu terjatuh ke bawah lori sampah berkenaan.

Lori sampah melanggar seorang murid sekolah rendah Seksyen 27 dan maut lori sampah yang pandu laju kejadian di seksyen 27, ketika murid melintas jalan. - Foto ihsan pembaca

"Pemandu lori berkenaan itu kemudiannya menghentikan kenderaannya dan mangsa cuba bangun. Bagaimanapun lori berkenaan mengundur sehingga menyebabkan kanak-kanak itu digilis tayar lori sampah itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik yang dipanggil ke tempat kejadian.

Baharuddin berkata, pemandu lori berkenaan juga tidak berada di tempat kejadian, dipercayai melarikan diri.

"Kita sudah menghubungi pengurus syarikat untuk mendapatkan butiran pemandu berkenaan dan kerja-kerja mengesan individu yang melarikan diri itu kini giat dijalankan.

"Kita memohon kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan kes kemalangan ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada lori sampah terbabit adalah milik kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan MBSA.

"Pihak MBSA akan mendapatkan maklumat lanjut dari syarikat berkenaan berhubung operasi lori itu dari segi laluan kutipan sampah, petugas dan sebagainya.

"Pihak MBSA tidak akan berkompromi sekiranya terbukti syarikat ini melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan semasa melakukan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan tersebut.

"Kita juga menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X