Sabtu, 30 Jun 2018 | 12:00pm

Ketua Pegawai Eksekutif GLC bebas dengan jaminan SPRM

PUTRAJAYA: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergelar Datuk yang direman bagi membantu siasatan kes penyelewengan tender bernilai RM300 juta, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Mohammad Abduh Md Hafidz.

Mohammad Abduh turut menetapkan lelaki berusia 59 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, lelaki berkenaan direman selama tiga hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau ditahan SPRM di pejabatnya kira-kira jam 12 tengah hari Rabu lalu.

Difahamkan, suspek ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian beberapa tender projek pembinaan di Putrajaya yang bernilai kira-kira RM300 juta.

Sumber berkata, suspek dipercayai menyalahguna kuasanya bagi memanipulasi beberapa proses projek pembinaan yang sedang dijalankan.

"Projek itu pada awalnya dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender, namun disebabkan beberapa isu yang sengaja diadakan, kontraktor terbabit gagal melaksanakannya.

"Siasatan awal mendapati, isu yang disengajakan itu kemungkinan sudah dirancang awal sebelum kontraktor baru dilantik. Difahamkan, kontraktor baru itu dipercayai mempunyai kepentingan dengan suspek," katanya.

Berita Harian X