Ahad, 1 Julai 2018 | 3:49pm
KEADAAN lembu yang dilanggar MPV.
KEADAAN kenderaan mangsa yang melanggar lembu sebelum terbabas ke papan tanda.

6 sekeluarga parah MPV langgar lembu

LIPIS: Enam sekeluarga parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dinaiki mereka melanggar seekor lembu dan papan tanda di Kilometer 86, di Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 tengah malam, pemandu, Wan Azman Wan Ali, 53, isteri, Wan Zuraida Wan Yusof, 53, dan empat anak mereka, Wan Ahmad Azri Asyraf, 22, Wan Nurul Naziha, 17, Wan Ahmad Azri Aiman, 13, dan Wan Ahmad Azri Asyrin, 15, masing-masing tidak sedarkan diri.

Semua mangsa dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob, berkata ketika dalam perjalanan pemandu MPV dipercayai tidak menyedari terdapat seekor lembu berada di tengah jalan dan melanggar haiwan berkenaan.

"MPV dinaiki enam sekeluarga itu kemudian terbabas melanggar papan tanda menyebabkan dua daripada mangsa tercampak keluar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibantu orang awam dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, polis masih belum mengambil keterangan lanjut berhubung kejadian itu kerana mangsa masih berada dalam keadaan separuh sedar.

Azry berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian keadaan gelap kerana tidak berlampu manakala jalan kering serta cuaca baik.

"Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X