Ahad, 1 Julai 2018 | 5:56pm
JURUNIKAH Hashim Yusof menunjukkan gambar pasangan seperti tersebar di dalam facebook, seorang peraih getah, 41, yang berkahwin dengan kanak-kanak perempuan warga Thailand, berusia 11 tahun, baru-baru ini yang dinikahkan beliau selepas mengisi borang di rumahnya di Kampung Nyor, Sungai Golok, Selatan Thailand. - Foto Fathil Asri

Budak mengaku sudah baligh - Kadi

SUNGAI GOLOK, Selatan Thailand: Budak 11 tahun yang berkahwin dengan peraih getah berusia 41 tahun Jumaat lalu, memberitahu Kadi Sungai Golok yang dia sudah baligh.

Kadi berkenaan, Hashim Yusoff, berkata kanak-kanak itu memberitahunya demikian selepas dia bertanya soalan itu kepadanya.

"Sebelum majlis akad nikah bermula jam 11 pagi (waktu Malaysia) pada 18 Jun lalu, saya bertanya kepada bakal pengantin perempuan beberapa soalan kerana terkejut apabila mengetahui usianya 11 tahun.

"Soalan pertama saya adakah dia sudah baligh dan dia menjawab...Ya. Saya tanya lagi adakah dia bersetuju berkahwin dengan lelaki berusia 41 tahun itu dan dia menjawab bersetuju tanpa paksaan.

"Ibu bapa budak yang turut hadir pada hari itu juga bersetuju dan bersedia menjadi wali. Mereka juga membawa dua saksi bersama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Nyor di sini hari ini.

Hashim yang juga Penolong Pendaftar di Majlis Agama Islam Narathiwat berkata, majlis akad nikah itu dilakukan di Masjid Padang Nyor di sini.

Katanya, selepas akad nikah, dia membawa rombongan pengantin dan keluarga ke rumahnya untuk mengisi beberapa dokumen berkaitan pernikahan itu.

"Saya terangkan kepada pengantin lelaki bahawa walaupun pernikahan itu sah, saya tidak dapat mengeluarkan surat nikah kerana pernikahan itu perlu didaftarkan terlebih dulu di Malaysia.

"Saya juga tidak melarang suami untuk 'bersama' isteri mudanya itu tetapi jika remaja itu mengandung sebelum umurnya 16 tahun, dia perlulah melahirkan anak mereka di Thailand," katanya.

Sementara itu, Hashim berharap orang ramai tidak mensensasikan isu itu kerana pernikahan mereka adalah sah dan mengikut hukum syarak.

Dia yang sudah berkhidmat selama 12 tahun dalam bidang itu berkata, antara peraturan yang dimaksudkan ialah kanak-kanak itu berasal dari sebuah daerah di selatan Thailand, sudah pun baligh, pernikahan itu dijalankan tanpa paksaan dan majlis dipersetujui ibu bapanya.

Berita Harian X