Rabu, 4 Julai 2018 | 1:03am

Bayi 5 bulan hilang dari rumah pengasuh

GOMBAK: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan hilang apabila pengasuhnya tersalah menyerahkannya kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapa bayi itu di Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini jam 6.30 petang, semalam.

Kehilangan bayi bernama Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif itu disedari ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, selepas dihubungi pengasuhnya dikenali sebagai Akila yang memaklumkan anaknya sudah diambil suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Pauzi, 28.

Menurut Farrah, dia baru seminggu menghantar bayinya itu ke rumah pengasuh berkenaan dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa suaminya sudah datang mengambil anak sulungnya mereka.

"Saya terkejut apabila pengasuh maklumkan bahawa suami sudah datang mengambil anak kami sedangkan suami sebenarnya memang tidak tahu pun lokasi rumah pengasuh.

"Jadi, saya terus terkejut apabila pengasuh memaklumkan anak kami sudah tiada kerana diserahkan kepada lelaki itu," katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, selepas membuat laporan polis, malam tadi.

Farrah yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, dia kecewa apabila pengasuhnya itu terus menyerahkan bayi berkenaan kepada lelaki terbabit sedangkan tidak mengenali suaminya itu.

"Membuatkan saya kecewa, bagaimana dia (pengasuh) boleh terus serahkan bayi kami kepada lelaki berkenaan sedangkan wajah suami saya pun dia tidak kenal.

"Lagi bertambah kecewa bila bayi kami diserahkan terus tanpa menelefon saya untuk pengesahan," katanya.

NSTP difahamkan, pengasuh berkenaan menyerahkan Adam selepas seorang lelaki berpakaian kemas mendakwa dirinya sebagai bapa bayi itu dan ingin mengambilnya.

Pengasuh berkenaan dikatakan sudah menghubungi ibu bayi itu untuk pengesahan namun panggilan tidak berjawab sebelum menyerahkan bayi itu.

Sehubungan itu, Farrah dan Mohd Saufi turut meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan bayi mereka.

Berita Harian X