Rabu, 4 Julai 2018 | 3:39am

Mayat bayi dalam peti sejuk rumah pengasuh

GOMBAK: Bayi lelaki Adam Rayqal Mohd Sufi, 5 bulan, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat Adam Rayqal ditemui disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu, kira-kira jam 11 malam tadi.

Katanya, mayat bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ditemui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

"Mayat Adam Rayqal ini ditemui selepas siasatan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuhnya.

"Polis kemudian membawa pengasuh berkenaan ke rumahnya sebelum ditunjukkan lokasi mayat bayi itu disimpan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Nakhoda, sebentar tadi.

Ali berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun.

"Mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya.

SUASANA perkarangan rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves.
SUASANA perkarangan rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves.
Berita Harian X