Rabu, 4 Julai 2018 | 1:59pm
IBU bapa mangsa bayi Adam Rayqal Mohd Sufi, Mohd Sufi Naeif Mohd Pauzi (dua, kanan) dan Farrah Madihah Othman (dua, kiri) tiba untuk proses pengecaman mayat di Institut Perubatan Forensik Negara hari ini. Bayi lelaki Adam Rayqal Mohd Sufi, 5 bulan, ditemui sudah meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda Batu Caves. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada Hannah Yeoh Tseow Suan (dua, kanan) ketika tiba untuk berjumpa ibu bapa mangsa bayi Adam Rayqal Mohd Sufi di Institut Perubatan Forensik Negara hari ini. - Foto BERNAMA
BAPA kepada bayi Adam Rayqal Mohd Sufi, Mohd Sufi Naeif Mohd Pauzi ketika ditenangkan oleh ahli keluarga ketika tiba di Institut Perubatan Forensik Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Ibu bapa Adam Rayqal tiba untuk cam mayat

KUALA LUMPUR: Ibu dan bapa kepada bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi, yang ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, tiba di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, jam 10.37 pagi tadi

Ibu mangsa, Farrah Madihah Othman, 28, dan suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, ditemani ahli keluarga terdekat, disambut saudara mara dan rakan sekerja Farrah Madihah yang sudah menunggu di IPFN HKL sejak jam 9 pagi tadi.

Difahamkan suami isteri itu akan melakukan proses pengecaman terhadap mayat bayi berkenaan sebelum bedah siasat dilakukan.

Selain itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh Tseow Suan, turut hadir ke IPFN HKL pada jam kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau dilihat turut memasuki IPFN HKL untuk bertemu ibu bapa mangsa.

Malam tadi, Adam Rayqal dilaporkan hilang selepas pengasuhnya dikatakan tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di Kampung Nakhoda, Batu Caves kira-kira 6.30 petang, semalam.

Bagaimanapun, polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira jam 11 malam tadi, selepas mendapati terdapat keraguan pada keterangannya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, dalam sidang media di lokasi kejadian awal pagi tadi, memaklumkan bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Polis sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka, semalam dan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Selayang, pagi ini, bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X