Rabu, 4 Julai 2018 | 3:17pm
DATUK bayi, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, Mohd Fauzi Jusoh,61 terkilan arwah cucunya mati dalam keadaan tragis. - Foto Malik Muhamad

'Perbuatan tak boleh diterima akal'

KUALA TERENGGANU: Datuk kepada bayi malang yang ditemui maut dalam peti ais rumah pengasuhnya semalam, menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan zalim yang tidak diterima akal.

Mohd Fauzi Jusoh, 61, berkata, dia sangat terkilan dan sedih dengan kematian Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif apatah lagi, mereka sekeluarga belum puas bermesra dengan bayi itu yang baru berusia lima bulan.

"Saya lebih pilu mengenangkan Adam ditemui dalam keadaan menyayat hati di bahagian petak beku peti ais yang nyatanya tidak boleh diterima akal sama sekali.

"Kehilangannya sangat dirasai kami sekeluarga dan saya berharap hukuman setimpal dikenakan ke atas mereka yang melakukan perbuatan kejam, tidak berperikemanusiaan itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, Adam Rayqal tinggal dengannya dan isteri di Chendering, di sini sepanjang Ramadan lalu selepas anaknya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, yang bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur, gagal mencari pengasuh yang sesuai.

Bagaimanapun, pesara bank itu berkata, pada Aidilfitri lalu, menantunya, Farah Madiha Othman, 28, yang berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur memberitahu sudah menemui pengasuh untuk anak sulung mereka.

"Atas sebab itu Adam dibawa pulang ke Kuala Lumpur, namun saya tidak menyangka yang pengasuh ini tidak begitu dikenali menantu.

"Sebelum ini, mereka saya hantar Adam di rumah pengasuh lain (sebelum dijaganya ketika Ramadan) tetapi hanya bertahan lima minggu sahaja kerana tidak sesuai," katanya yang turut berada di Kuala Lumpur menguruskan jenazah cucu keduanya.

Katanya, dia reda dengan kejadian yang berlaku dan tidak menyalahkan anak mahupun menantunya berikutan sudah ditakdirkan Allah SWT.

Ketika ini, Mohd Fauzi berharap polis melakukan siasatan terperinci dan individu menyebabkan kematian cucunya dihukum setimpal.

Menurutnya, jenazah Adam Rayqal dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ladang, Kuala Terengganu bersebelahan Masjid Ladang, di sini, kira-kira jam 6 petang ini.

Berita Harian X