Rabu, 4 Julai 2018 | 9:21pm

Dalang kes bunuh di Taman Pelangi pulang esok

BANGKOK: Seorang daripada lelaki paling dikehendaki di Malaysia yang ditahan polis Thailand Mei lalu, akan dihantar pulang esok untuk menghadapi siasatan berhubung dakwaan pembabitan dalam satu jenayah yang mengejutkan akhir tahun lalu.

Lelaki berasal dari Johor Bahru, Johor, berusia 36 tahun itu didakwa mendalangi pembunuhan seorang lelaki berusia 44 tahun di Taman Pelangi, Johor Baharu Disember lalu sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Penolong Pegawai Perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Thailand, Superintendan Ridzuan Abdul Aziz, berkata lapan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor akan mengiringinya pulang ke Malaysia.

Katanya, pegawai berkenaan termasuk wanita, yang ditugaskan mengiringi lelaki itu dan teman wanitanya pulang ke Malaysia, tiba di sini dua hari lalu untuk menguruskan perkara berkaitan ekstradisi pasangan berkenaan.

"Lelaki itu, yang ditahan pada 29 Mei lalu bersama-sama teman wanitanya di wilayah Chaiyaphum, kira-kira 260 kilometer di timur laut Bangkok, dijadual menaiki pesawat ke Kuala Lumpur pagi esok," kata kepada BERNAMA.

BERNAMA difahamkan bahawa pasangan itu akan dibawa ke Johor Bahru selepas tiba di Kuala Lumpur pada tengah hari.

Ridzuan berkata, sejak ditahan, pasangan itu ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) sementara menunggu selesai proses ekstradisi.

Lelaki berkenaan dipercayai mendalangi pembunuhan 'Ah Chiu', yang ditikam dan digilis dengan sebuah kereta BMW putih di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi. Klip video pembunuhan ngeri itu tersebar di media sosial.

Berikutan kejadian itu, polis Malaysia menahan beberapa lelaki dan wanita serta menghadapkan ke mahkamah dua daripada mereka pada Februari lalu.

Lelaki dikehendaki pihak berkuasa itu, yang mempunyai tatu besar di lengan kanannya, melarikan diri ke Thailand Disember tahun lalu.

Setelah memasuki Thailand, lelaki itu memakai jubah kuning dan menjadi sami di sebuah kuil Buddha di wilayah Petchabun, yang menurut pegawai polis adalah helah untuk menyembunyikan jenayah lampaunya.

Dari Petchabun, dia dan teman wanitanya berpindah ke Chaiyaphum dan tinggal di pekarangan sebuah kuil serta menjadi penganut Buddha yang sungguh taat.

Oleh kerana begitu patuh kepada ajaran Buddha yang hanya membenarkannya makan sekali sehari, berat badan lelaki itu susut mendadak. Ini menyukarkan polis Thailand mengecamnya berdasarkan gambar yang diberi polis Malaysia.

Bagaimanapun, polis berjaya mengesan lelaki terbabit selepas melihat tatu besar di lengan kanannya.

Berita Harian X