Rabu, 4 Julai 2018 | 11:33pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun. - Foto BERNAMA
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun. - Foto BERNAMA

Ketatkan undang-undang pusat asuhan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memperkenalkan satu garis panduan bagi memperketatkan undang-undang pusat asuhan kanak-kanak (Taska) supaya kejadian menimpa Adam Rayqal Mohd Sufi tidak berulang.

Adam, bayi berusia lima bulan yang ditemui mati di rumah pengasuh di Taman Nahkoda, Batu Caves, Selangor, semalam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun, berkata selain itu, hanya pengasuh yang layak akan diberikan kursus, latihan dan tauliah oleh kerajaan bagi mengesahkan kelayakan mereka.

"Memilukan, berita penemuan mayat adik Adam Rayqal di dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya.

"Saya berharap kejadian ini menjadi kes terakhir di negara kita. Takziah diucapkan kepada ibu bapa mangsa.

"Kanak-kanak adalah pemimpin generasi pada masa depan. Semua golongan masyarakat mempunyai tanggungjawab memelihara hak, keselamatan, prihatin, menghormati kesejahteraan dan kebajikan mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Awal pagi Rabu, NSTP melaporkan Adam Rayqal dilaporkan hilang selepas bayi berkenaan dikatakan tersalah serah kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai bapanya di rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, Batu Caves kira-kira jam 6.30 petang, Selasa.

Siasatan polis bagaimanapun menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian pembeku peti sejuk dua pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira jam 11 malam selepas mendapati ada keraguan pada keterangannya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad dalam sidang media di lokasi kejadian pagi tadi memaklumkan bayi berkenaan ditemui lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jenazah Adam Rayqal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, malam ini.

Berita Harian X