Khamis, 5 Julai 2018 | 5:44pm
PENGASUH yang menyorokkan mayat Adam Rayqal dalam bahagian sejuk beku peti ais ditahan reman Mahkamah Majistret Selayang. - Foto NSTP

Suspek bunuh Adam Rayqal dibawa ke rumah

GOMBAK: Pengasuh yang dipercayai suspek utama kes kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, dibawa ke rumahnya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves, di sini, pagi tadi, untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata proses itu untuk memberi gambaran lebih jelas berhubung kejadian selain untuk mengetahui punca kecederaan parah pada kepala yang disahkan menjadi punca kematian bayi lelaki berkenaan.

"Kita membawa suspek yang berusia 33 tahun itu ke rumahnya hari ini untuk membantu siasatan bagaimana kejadian berlaku di lokasi.

"Sehingga kini, kami tidak dapat mengenal pasti punca kecederaan pada bahagian kepala bayi itu. Jadi, suspek dibawa ke rumahnya juga adalah untuk menjelaskan bagaimana kepala mangsa mengalami kecederaan sedemikian," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kerana bimbang mengganggu proses siasatan ketika ini.

Adam Rayqal yang dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, kira-kira jam 11 malam, Selasa lalu.

Ali dilaporkan berkata, mayat Adam Rayqal disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ditemui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Pihak polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun sejurus kemudian dan mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa menemui kesan retak pada tempurung kepala sebelah kiri serta pendarahan di bahagian kanan otaknya yang menjadi punca kematian bayi itu.

Berita Harian X