Jumaat, 6 Julai 2018 | 8:36pm
FARRAH Madiha (dua dari kanan) bersama suaminya Mohd Sufi Naeif (kiri), bapa mentuanya, Mohd Pauzi Jusoh, 62, (dua dari kanan) dan adik iparnya, Ahmad Mushi Mohd Pauzi, 23, (kanan) menziarahi pusara Adam Raykal di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu. - Foto Rozainah Zakaria

Farrah mahu 'dekat' dengan Adam

KUALA TERENGGANU: "Saya bercadang untuk pindah ke Terengganu kerana saya mahu sentiasa dekat dengannya (arwah Adam)," kata Farrah Madihah Othman, 28, ibu kepada bayi berusia lima bulan, Adam Raykal yang meninggal dunia dalam keadaan memilukan di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Cave, Selangor, Selasa lalu.

Farrah Madiha yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, buat masa ini dia dan suami masih belum membuat sebarang urusan berkaitan perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, dia bercadang untuk membuat urusan pertukaran dalam masa terdekat.

"Perasaan sedih kehilangan arwah masih lagi menyelubungi saya dan suami selain keluarga serta sanak saudara kerana pemergiannya tidak dijangka.

"Sukar untuk kami terima apa yang berlaku namun kami tetap reda kerana semua itu adalah urusan Allah dan Allah lebih menyayanginya," kata Farrah Madiha ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, dia akan berpindah ke Terengganu sekiranya suami, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, yang bekerja di bahagian pinjaman SME Bank dapat bertukar di negeri sama.

"Suami adalah kekuatan saya dan perlu bersamanya pada setiap masa," katanya.

Pemergian Adam Rayqal mendapat simpati seluruh rakyat negara ini berikutan kematiannya yang dianggap satu perbuatan kejam dilakukan pengasuhnya.

Jenazah bayi syurga itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, di sini, jam 10.30 malam Rabu lalu.

Berita Harian X