Sabtu, 7 Julai 2018 | 11:57pm

Kebakaran tangki padam sepenuhnya

KEMAMAN: Kebakaran membabitkan tiga tangki minyak mentah Kemaman Bintumen Company (KBC) sejak Khamis lalu akhirnya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.40 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata kebakaran dapat dipadamkan dengan kaedah semburan terus ke punca api menggunakan peralatan bomba dan membuat pemerhatian menggunakan dron yang diuruskan pihak polis.

"Kami mendapati tiada lagi tompok kebakaran dari atas dan kami juga menggunakan 'Thermo X-Rray' untuk melihat kebakaran jika ada atau tidak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan perindustrian KBC Teluk Kalong, lewat malam ini.

Bagi memastikan kebakaran tangki berkenaan tidak berulang, beliau berkata, pihak bomba akan menggunakan kaedah memasukkan air ke dalam dua tangki terbakar bagi mengurangkan kepanasan tangki penghadang bahan dalam tangki berkenaan dengan takat lebur tinggi lebih 1,000 darjah Celsius.

Katanya, walaupun kebakaran ketiga-tiga tangki berkenaan berjaya dipadamkan, operasi tetap diteruskan sehingga pagi esok.

"Kami akan terus membuat pemantauan. Taklimat akan diberi kepada Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) KBC untuk melakukan pemantauan dan melaporkan maklumat diperlukan.

"Siasatan akan dilakukan secepat mungkin dan oleh kerana ini adalah kebakaran besar, satu pasukan bomba dari Putrajaya akan menjalankan siasatan dengan dibantu pegawai negeri.

"Kebakaran ini adalah antara yang terbesar di Malaysia selain di Segamat , Tanjung Langsat (Johor) dan Port Dickson," katanya. - BERNAMA

KEBAKARAN membabitkan tiga tangki minyak mentah Kemaman Bintumen Company (KBC) - Foto Rozainah Zakaria
KEBAKARAN membabitkan tiga tangki minyak mentah Kemaman Bintumen Company (KBC) - Foto Rozainah Zakaria
Berita Harian X