Ahad, 8 Julai 2018 | 11:56am
PENGUSAHA sebuah kedai emas di Taman Ros Parit Yaani, Yong Peng di sini kerugian kira-kira RM210,000 selepas tiga penjenayah melarikan barangan kemas dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam. - Foto ihsan PDRM

Barang kemas RM210,000 lesap

BATU PAHAT: Pengusaha sebuah kedai emas di Taman Ros Parit Yaani, Yong Peng di sini kerugian kira-kira RM210,000 selepas tiga penjenayah melarikan barangan kemas dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek dipercayai memotong pintu pagar dan tingkap besi di bahagian belakang sebelum memecah masuk kedai berkenaan.

Katanya, penjenayah berkenaan dipercayai menggunakan kuku kambing, pemotong wayar selain mesin penebuk selain turut bertindak merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan bagi menghapus jejak mereka.

"Berdasarkan rakaman CCTV di sekitar tempat kejadian mendapati tiga suspek lelaki dan bangsa tidak pasti memakai penutup muka dan bersarung tangan masuk ke dalam kedai pengadu.

"Suspek memotong pintu pagar besi yang berkunci untuk masuk ke pejabat pengadu yang menempatkan peti besi menyimpan barangan kemas.

"Suspek menggunakan mesin penebuk dan membuat ruangan kecil yang boleh memuatkan satu tangan bagi mengambil barang kemas yang berada di dalam peti besi terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa berusia 25 tahun berkata, menyedari kejadian itu selepas mahu memulakan perniagaan pada 11 pagi hari kejadian.

"Pada sehari sebelum kejadian, pengadu menutup premisnya kira-kira 6.30 petang dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati 85 rantai leher, 71 rantai tangan dan 16 gelang tangan lesap.

"Ini adalah kejadian pertama dialami pengadu selepas beliau berniaga emas sejak 10 tahun lalu.

"Tempat kejadian tidak berpagar selain tiada pengawal keselamatan ditugaskan untuk menjaga atau membuat rondaan," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X