Isnin, 9 Julai 2018 | 3:36pm

Bekas jurujual dipenjara 3 tahun, 1 sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas jurujual dihukum penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merompak wang RM2,000 hasil jualan rokok milik seorang peniaga kedai runcit pada tahun lalu.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Asmawi Tengku Alaudin, 42, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 27 September tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama tiga lagi masih bebas, merompak wang di dalam sebuah bilik yang juga hasil jualan rokok tidak sah berjumlah RM2,000 milik Muhammad Yusuf Yakob.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Runcit Usop Jamu di Lorong Keramat Dalam 7 off Jalan Kampung Datuk Keramat, di sini, pada jam 8 pagi 22 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya itu sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan lima sebatan di Penjara Kajang, Selangor, atas kesalahan merompak yang lain.

Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukannya adalah serius.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tiga hingga lima lelaki ke kedai terbabit dan mendakwa mereka adalah pegawai kastam.

Mereka mendakwa ingin membuat pemeriksaan kerana mengesyaki kedai mangsa menjual rokok tidak sah, iaitu belum mendapat kelulusan kastam.

Ketika melakukan pemeriksaan, mereka didakwa mengambil duit simpanan kedai mangsa sebanyak RM2,000 dan melarikan diri.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis sebelum tertuduh berjaya ditangkap pada 27 September tahun lalu.

Berita Harian X