Isnin, 9 Julai 2018 | 6:31pm

Pegawai SPRM mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua tuduhan memberi maklumat palsu kepada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tahun lalu.

Tertuduh, Fikri Ab Rahim, 43, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi maklumat palsu kepada bahagian butiran nama pasangan dalam borang maklumat peribadi kepada seorang kakitangan JAIS, Fatin Afikah Muhamad Mustapa di pejabat JAIS, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5 di sini, jam 4 pagi, pada 16 Disember 2017.

Fikri turut didakwa atas satu lagi tuduhan memberi maklumat palsu kepada kakitangan JAIS, Mariah Mukhyuddin di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Berikutan itu, Fikri didakwa mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

Tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula pada 6 Ogos ini.

PEGAWAI Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fikri Ab Rahim dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada dua kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tahun lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X