Rabu, 11 Julai 2018 | 8:00pm

Pembantu tadbir maut ditikam rakan sekerja

BANTING: Akibat berang kerap disindir mempunyai hubungan sulit, seorang lelaki bertindak menikam dan mencekik seorang kerani wanita sehingga mati di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mayat mangsa, Zaimah Mahmod, 57, ditemui di stor pejabat sekolah berkenaan akibat ditikam dengan pisau oleh suspek berusia 28 tahun yang juga rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada suspek yang mengaku baru membunuh mangsa.

"Ketika menghubungi polis pada jam 2.40 petang, lelaki itu (suspek) turut memberitahu sudah menikam dan mencekik wanita berkenaan sehingga mati.

"Hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian. Beberapa kesan tikaman turut ditemui di leher dan badan wanita itu selain pisau yang digunakan suspek untuk membunuh," katanya kepada NSTP.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek yang juga pembantu makmal sekolah itu dipercayai berdendam kerana sering kali disindir mangsa.

"Mangsa yang juga ibu tunggal dikatakan kerap menyindir suspek mempunyai hubungan sulit dengan seorang kakitangan di sekolah berkenaan.

"Suspek yang baru tiga bulan bekerja, turut menjalani rawatan kemurungan di hospital selain pernah melakukan cubaan membunuh diri," katanya memaklumkan suspek ditemui hanya duduk dalam keadaan tenang di samping mayat mangsa.

Kata Azizan, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X