Khamis, 12 Julai 2018 | 1:28pm

Wanita langgar mati 4 lelaki dituduh memandu mabuk

TAWAU: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian empat lelaki di Jalan Chong Thien Vun di sini, awal pagi Ahad lalu.

Olivia Chong Oi Yun, 34, yang memakai baju berwarna ungu serta kedua-dua tangan bergari, bagaimanapun, tidak membuat sebarang pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ferhanshah Farene.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai eksekutif pengurusan di sebuah syarikat swasta di sini, didapati mempunyai banyak alkohol dalam badan sehingga tahap alkohol di dalam darah melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian kepada empat individu.

Mereka yang maut dalam kejadian itu ialah Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16; dan Chong Wei Chan, 21, selain mengakibatkan seorang lagi mangsa, Chin Guan Xiong, 21, patah kaki.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta Toyota Vios di hadapan Pusat Komersil BDC (1 Arena), Jalan Chong Thien Vun, di sini, pada jam 1.20 pagi, 8 Julai lalu.

Tertuduh yang juga bekas calon sebuah parti politik tempatan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lima tahun lalu, dituduh mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ferhanshah menetapkan 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes selepas tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, selain laporan kimia dan bedah siasat keempat-empat mangsa belum diperoleh.

Wan Muhammad Fitri sebelum itu memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas faktor keselamatan, namun mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin tempatan manakala lesen memandu wanita itu digantung sehingga kes pendakwaan selesai.

Mahkamah juga memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dikehendaki melaporkan diri setiap dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat.

Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, empat lelaki maut dan seorang lagi patah kaki kiri dirempuh sebuah Toyota Vios ketika berada di kawasan parkir Pusat Komersil BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu wanita terbabit turut melanggar sebuah van Toyota Hiace serta dua kereta, PERODUA Bezza dan Myvi.

OLIVIA Chong Oi Yun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian empat lelaki di Jalan Chong Thien Vun di Tawau, awal pagi Ahad lalu. - Foto Abdul Rahemang Taiming
OLIVIA Chong Oi Yun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini, atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian empat lelaki di Jalan Chong Thien Vun di Tawau, awal pagi Ahad lalu. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X