Khamis, 12 Julai 2018 | 10:34pm

Kes bapa cabar pengislaman dua anak diputuskan 16 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan pada 16 Oktober depan bagi keputusan semakan kehakiman seorang bapa beragama Buddha yang mencabar keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mendaftarkan pengislaman dua anaknya oleh bekas isteri yang memeluk Islam.

Hakim Datuk Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu hari ini bagi klarifikasi atau keputusan selepas mendengar hujahan peguam K Shanmuga yang mewakili ahli perniagaan berusia 44 tahun dan peguam Datuk Sulaiman Abdullah serta Nizam Bashir yang mewakili Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan.

Dalam hujahannya, Nizam berkata dua beradik itu, masing-masing lelaki berusia empat tahun dan perempuan berumur lapan tahun ketika memeluk Islam pada 11 Mei 2016 dan kekal sehingga kini, dan pada tarikh itu ketika ditanya oleh Pegawai Pengislaman, mereka mengesahkan 'suka Islam'.

Pada 18 Ogos 2017 pula Nizam berkata, dua beradik itu ketika ditemubual Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, mengesahkan mereka sendiri ingin mengikut ibu ke masjid, berpuasa dan berhijab.

Peguam itu berkata, keterangan Ustaz Tengku Nor Hasif di hadapan hakim pada 5 Oktober 2017, mengambil kira bahawa kanak-kanak itu memahami apa yang diucapkan apabila mengiyakan apa yang disampaikan kepada mereka.

Katanya, apa yang disampaikan kepada kanak-kanak berkenaan ialah ucapan dua kalimah syahadah, mengenai solat dan apa setiap orang Islam pelajari apabila memeluk agama berkenaan.

"Pada 2 Mei lalu, Mufti Wilayah Persekutuan mengesahkan, kanak-kanak bawah umur dikira seorang Muslim apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam, kedua apabila mencapai usia baligh (mumaiyiz) dan mengucap dua kalimah syahadah serta mengamalkan ajaran Islam dan ketiga tiada cara membatalkan penukaran agama mengikut undang-undang Islam kecuali apabila mencapai umur majoriti dan dan berhasrat untuk keluar Islam..

"Pada 7 Mei lalu, dua beradik itu ditemubual oleh hakim Mahkamah Syariah, yang kemudian mengesahkan mereka memeluk agama Islam, berkemungkinan selepas menimbangkan proses hukum syarak.

"Sehubungan itu, Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan menegaskan, berdasarkan alasan diberikan, permohonan pemohon untuk mengetepikan Kad Akuan Masuk Agama Islam adalah bukannya bagi kepentingan terbaik untuk kanak-kanak itu. Dengan itu, kami memohon supaya permohonan semakan kehakiman ini ditolak," katanya.

Dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman difailkan pada 14 Jun tahun lalu, bapa terbabit menamakan Ketua Pengarah JAWI, Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Kerajaan Malaysia dan bekas isterinya berusia 30 tahun selaku responden.

Beliau memohon perintah untuk menghalang Pendaftar Mualaf daripada mendaftarkan pengislaman kedua-dua anaknya dan membatalkan apa-apa dokumen di bawah milikan Pendaftar Muallaf atau Kementerian Pelajaran.

Secara alternatif, beliau memohon perisytiharan bahawa Kad Akuan Masuk Agama Islam kanak-kanak terbabit adalah batal dan tidak sah.

Turut dipohon, persoalan kepada Mahkamah Persekutuan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk membuat semakan terhadap tindakan Pendaftar Mualaf dan ejennya daripada menjalankan kuasa statutori mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Selain itu, pemohon turut memohon supaya Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada kanak-kanak hasil perkahwinan mengikut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA) yang belum mencapai usia 18 tahun mesti mematuhi Seksyen 85(1) dan 95(b) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) atau akta yang sama di seluruh negeri sebelum Pendaftar Mualaf boleh mendaftarkan pengislaman mereka.

Pemohon turut menyatakan beliau memohon supaya Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada ibu atau bapa (jika kedua-dua masih hidup) daripada hasil perkahwinan sivil dimestikan memberikan keizinan sebelum pengislaman anak mereka boleh didaftarkan.

Dalam afidavitnya, pemohon menyatakan bahawa bekas isterinya memfailkan petisyen perceraian sebelum memeluk Islam pada 29 Disember 2015.

Pada 27 April lalu, melalui petisyen perceraian kedua dan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah Tinggi memberikan hak lawatan kepada bapa manakala ibu diberikan hak penjagaan penuh terhadap kanak-kanak terbabit.

Bapa itu berkata, beliau diberitahu oleh kedua-dua anaknya bahawa bekas isterinya membawa mereka untuk mengucap dua kalimah syahadah pada 11 Mei 2016 dan turut dibawa ke satu tempat untuk diambil cap jari.

Beliau mendakwa, anaknya turut disuruh membacakan sesuatu dalam bahasa Melayu yang mana ia tidak difahami mereka.

Sementara itu, Shanmuga dalam hujahannya, berkata pada masa material, Pendaftar Mualaf menunjukkan bahawa ia melakukan tindakan yang tidak sah, tidak rasional dan dan melalui prosedur yang tidak betul.

Beliau berkata, selaku pihak berkuasa awam yang menjalankan tugas statutori, Pendaftar Mualaf sepatutnya menjalankan kewajipannya untuk mengetahui isu perlembagaan yang lebih luas yang memerlukan pentadbiran undang-undang Islam untuk tidak menghalang hak agama minoriti mengamalkan ajaran agama mereka.

Katanya, dalam kes Indira Gandhi, persoalan yang diputuskan Mahkamah Persekutuan tidak berkait kepada status penjagaan oleh ibu bapa, sebaliknya ia merujuk secara spesifik kepada ibu bapa dan bukannya merujuk kepada persoalan siapa yang mendapat hak penjagaan terhadap kanak-kanak terbabit.

"Dalam penghakiman itu, mahkamah menyatakan bahawa pemahaman bacaan mengikut Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menggalakkan kebajikan kanak-kanak yang juga konsisten dengan penilaian yang baik, memerlukan keizinan kedua ibu bapa bagi penukaran agama kanak-kanak di bawah umur.

"Oleh itu, walaupun hanya dengan penafsiran perlembagaan, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa perlembagaan menghendaki kedua-dua ibu bapa jika masih hidup (dan bukan jika mereka selaku penjaga) mesti memberikan keizinan bagi penukaran agama anak mereka.

"Mahkamah Persekutuan turut membuat pertimbangan terhadap peruntukan undang-undang yang lain. Bagaimanapun, yang diputuskan berhubung persoalan undang-undang sebenar dan perkara utama dalam kes itu menunjukkan pertimbangan utama ialah mendapatkan keizinan kedua-dua ibu bapa sebelum kad akuan penukaran agama boleh dikeluarkan," katanya.

Berita Harian X