Ahad, 15 Julai 2018 | 9:12pm

Tampar isteri, rampas kereta

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dilapor memukul isterinya sebelum meninggalkan wanita itu di bawah jambatan kerana mengingkari larangan pergi bekerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 38 tahun itu yang berada di rumah mereka di flet Kuala Ibai di sini, dikatakan bersedia untuk keluar bekerja.

Sumber berkata, wanita itu bagaimanapun dilarang keluar oleh suaminya yang berusia 40-an kerana mahu menggunakan kereta isterinya, menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

"Suspek merampas kunci di tangan mangsa sebelum memasuki kereta, namun isterinya yang enggan mengalah turut menaiki kenderaan itu untuk cuba menghalang suaminya.

"Tindakan wanita itu menyebabkan suspek menamparnya beberapa kali sebelum ditinggalkan di bawah jambatan Kuala Ibai, di sini sebelum lelaki terbabit beredar memandu kereta milik mangsa.

"Mangsa kemudian menghubungi adik iparnya bagi meminta bantuan sebelum dihantar pulang ke rumah," katanya di sini, hari ini.

Sebaik tiba, wanita itu terkejut melihat suaminya ada di rumah lalu menghubungi polis kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

"Selepas polis beredar, suspek didakwa menampar mangsa beberapa kali selepas mereka bertengkar.

"Mangsa mendakwa pernah membuat laporan polis kerana sikap panas baran suaminya, termasuk pernah patah ibu jari kaki dan lebam seluruh badan akibat dipukul," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Berita Harian X