Selasa, 17 Julai 2018 | 3:17pm

Pendakwah bebas Kanada kemuka tiga saksi

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips akan mengemukakan tiga saksi bagi memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin.

Peguam Meor Amin Meor Omar Baki yang mewakili Bilal Philips memaklumkan perkara itu kepada wartawan selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, di sini, hari ini.

Menurutnya, Zamihan sebagai defendan pula akan mengemukakan tiga saksi bagi memberi keterangan.

Beliau juga memaklumkan mahkamah sebelum ini sudah menetapkan 31 Julai sehingga 2 Ogos ini untuk perbicaraan.

Bilal Philips selaku plaintif mengemukakan saman terhadap Zamihan kerana mendakwa defendan memfitnahnya melalui posting bergambar yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, tahun lalu dengan mengaitkannya sebagai penyokong keganasan antarabangsa.

PEGUAM Meor Amir Meor Omar Baki mewakili Bilal Philips (gambar kecil) yang mengemukakan saman terhadap Zamihan. - Foto Aswadi Alias

ZAMIHAN sebagai defendan akan mengemukakan tiga saksi bagi memberi keterangan. - Foto fail NSTP

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 29 September tahun lalu, Bilal Philips mendakwa defendan memuat naik gambarnya dan keterangan (kapsyen) dalam akaun Facebook Ustaz Zamihan Al Ghari pada 26 November 2016 yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Bilal Philips mendakwa, posting itu memaparkan poster hebahan kuliah Maghrib khas yang disampaikan Zamihan pada 1 Disember 2016 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail, Kangar, Perlis.

Plaintif dengan itu menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan semula posting itu, selain ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Zamihan dalam pernyataan pembelaannya pula berkata, beliau tidak tahu mengenai posting bergambar itu yang tersebar di internet.

Defendan bagaimanapun menegaskan, pernyataan dalam posting bergambar itu bukan fitnah terhadap plaintif kerana apa yang dinyatakan adalah fakta yang benar.

Berita Harian X