Rabu, 18 Julai 2018 | 8:41pm
NAJIB pada sidang media selepas selesai perbicaraan pertuduhan berhubung SIC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 Julai lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir
NAJIB pada sidang media selepas selesai perbicaraan pertuduhan berhubung SIC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 4 Julai lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir

Akaun Najib tiada kaitan dengan siasatan SRC, 1MDB

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pelepasan pembekuan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah kerana ia tiada kaitan dengan siasatan SRC International (SRC) dan 1MDB membabitkan RM2.6 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan tindakan melepaskan pembekuan akaun itu bukan dilakukan atas desakan mana-mana pihak tetapi disebabkan siasatan terhadap akaun itu sudah selesai.

"Kami mendapati terdapat beberapa kekeliruan fakta yang dilaporkan oleh segelintir pihak menerusi media," katanya.

Berhubung dakwaan SPRM mengadakan publisiti besar-besaran mengenai pembekuan akaun Najib dan menyepi apabila pembekuan akaun ditarik balik, SPRM menegaskan bahawa isu berkenaan tidak timbul.

Ini kerana suruhanjaya itu tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan pembekuan akaun, malah SPRM juga hanya mengesahkan pelepasan akaun berkenaan apabila persoalan itu ditimbulkan oleh media.

Dalam pada itu, katanya, terdapat juga akaun-akaun bank lain Najib yang turut terbabit dengan siasatan SRC dan 1MDB tidak dibekukan kerana akaun-akaun berkenaan sudah ditutup sebelum siasatan SRC dan 1MDB bermula pada Julai 2015.

"Ini bermakna, pembekuan akaun bank Najib berkaitan isu SRC dan dana RM2.6 bilion ketika itu tidak dapat dilakukan kerana akaun berkenaan sudah ditutup lebih awal sebelum siasatan dimulakan," katanya.

SPRM turut menegaskan bahawa sehingga kini, siasatan berhubung dana RM2.6 bilion masih diteruskan.

Berita Harian X