Jumaat, 20 Julai 2018 | 4:56pm

Vasanthapiriya meninggal dunia akibat gantung diri

GEORGETOWN: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu kematian pelajar Tingkatan Dua, M Vasanthapiriya yang meninggal dunia selepas didakwa mencuri telefon bimbit gurunya adalah disebabkan menggantung diri.

Perkara itu didedahkan Pakar Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr P Chandroth Navin pada prosiding inkues Vasanthapiriya hari ini.

Dr Chandroth berkata, pemeriksaan luaran yang dilakukan terhadap mendiang Vasanthapiriya mendapati terdapat luka ligamen di sekeliling leher remaja perempuan itu.

"Selepas menerima mayat mendiang di Jabatan Forensik HPP pada 1 Februari lalu jam 5.10 pagi, kami terus menjalankan pemeriksaan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) biasa.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan trauma di sekeliling leher mangsa bermula di belakang leher sehingga ke arah belakang telinga yang disebabkan kesan jerutan kerana tergantung," katanya.

Dr Chandroth, 35, adalah saksi ke-11 prosiding inkues menyiasat punca kematian pelajar tingkatan dua itu yang meninggal dunia selepas menggantung diri dipercayai kerana malu akibat dituduh mencuri telefon pintar seorang guru wanita.

Inkues yang didengar di hadapan Koroner Norsalha Hamzah akan bersambung dengan seorang lagi saksi terakhir, 27 Julai ini.

Inkues dibantu pegawai pengendali yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amer Abdul Karim dan J G Kameni.

Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada jam 3.35 pagi, 1 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.

Mendiang dikatakan berbuat demikian selepas tertekan akibat dituduh mencuri telefon pintar milik seorang guru wanita di sekolahnya.

PAKAR Forensik Perubatan HPP, Dr P Chandroth Navin (kanan) bersama peguam pemerhati ketika hadir inkues menyiasat punca kematian Vasanthapiriya di Mahkamah Koroner Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
PAKAR Forensik Perubatan HPP, Dr P Chandroth Navin (kanan) bersama peguam pemerhati ketika hadir inkues menyiasat punca kematian Vasanthapiriya di Mahkamah Koroner Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X