Sabtu, 21 Julai 2018 | 2:00pm
KEADAAN mangsa yang cedera selepas rambutnya tersangkut pada rantai motosikal suspek, dalam kejadian ragut di Miri. - Foto Mohd Rizal Abdullah
KEADAAN mangsa yang cedera selepas rambutnya tersangkut pada rantai motosikal suspek, dalam kejadian ragut di Miri. - Foto Mohd Rizal Abdullah

Rambut 'melekat' di motosikal peragut

MIRI: Terseret sejauh lima meter dengan keadaan rambutnya 'terlekat' pada rantai motosikal, itu pengalaman perit seorang wanita selepas diragut seorang lelaki dalam kejadian Pusat Komersial Boulevard di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 31 tahun diragut suspek lelaki berusia 24 tahun yang menunggang sebuah motosikal.

Menurut sumber, mangsa yang juga pekerja farmasi itu sedang berjalan sebelum mangsa diragut dari arah belakang mengakibatkan mangsa terjatuh.

Sumber itu berkata, malang bertimpa terhadap mangsa apabila rambutnya turut tersangkut pada rantai motosikal suspek sehingga mangsa terseret sejauh lima meter.

"Suspek turut hilang kawalan lalu terjatuh sebelum ditahan orang awam," katanya.

Tambah beliau, mangsa cedera di beberapa anggota badan dan dilihat dalam keadaan terlentang dengan keadaan rambutnya masih 'terlekat' pada rantai motosikal berkenaan.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan orang awam lalu dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, suspek turut dibelasah orang awam yang berang dengan kejadian itu sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X