Isnin, 23 Julai 2018 | 5:40pm

Pemandu van jenazah memancing seorang diri lemas

KUALA SELANGOR: Seorang pemandu van jenazah mati lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Selangor berhampiran muka sauk Empangan Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya di sini jam 6.40 petang semalam.

Mangsa, Alias Hassan, 62, dipercayai lemas ketika keluar memancing.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak mangsa bahawa bapanya keluar dari rumah di Taman Purnama pada jam 5 petang untuk memancing.

"Menurut anaknya, mangsa yang keluar memancing seorang diri itu tidak tahu berenang.

"Hasil siasatan mendapati, seorang pekerja loji rawatan air berada di kawasan berkenaan ketika mangsa jatuh berhampiran muka sauk empangan itu, dan cuba untuk menolong warga emas itu tetapi tidak berjaya.

"Mayat mangsa dinaikkan oleh pasukan bomba dan penyelamat. Hasil pemeriksaan keseluruhan badan mangsa mendapati tiada sebarang tanda-tanda kejadian jenayah," katanya kepada pemberita.

Md. Asri berkata, polis membawa mayat mangsa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dengan menggunakan van jenazah yang selalu dipandu oleh mangsa.

"Pegawai perubatan Hospital Tanjong Karang, Dr Ummi Ainaa Selamat menjalankan proses bedah siasat dan mendapati punca kematian disebabkan lemas.

"Pekerja loji rawatan air itu yang mengalami sesak nafas ketika cuba membantu mangsa pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk mendapatkan rawatan dan siasatan berhubung kejadian ini masih diteruskan," katanya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alhafiz Asmuni ketika dihubungi memberitahu pihaknya menerima panggilan jam 6.02 petang.

"Sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba, Ismayudin Ibrahim bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan bagi operasi khidmat khas mencari dan menyelamat mangsa lemas.

"Operasi berkenaan turut disertai sepasukan lapan anggota dan pegawai dengan sebuah jentera FRT dari BBP Bestari Jaya.

"Bomba menggunakan pengusung untuk mengangkat mayat ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X