Isnin, 23 Julai 2018 | 6:53pm

Pegawai JKDM dipenjara tujuh hari terima suapan

PUTRAJAYA: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berpangkat pembantu penguasa, Khairul Paizi Ahmad, 50, dipenjara tujuh hari dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang pemilik bot dua tahun lalu.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, Hakim Johari Hassan menjatuhkan hukuman terbabit selepas Khairul Paizi mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di jeti pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Jalan Bukit Tok Po Kuala Perlis pada 13 Jun 2016 sekitar jam 1.30 petang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 10 Jun 2016, Khairul bersama rakan sekerjanya menahan sebuah bot yang dibawa oleh beberapa orang warga Thailand.

Rakan sekerja Khairul kemudiannya memeriksa bot berkenaan dan merampas lesen Vesel serta peralatan menangkap ikan bot terbabit serta resit minyak dan mengarahkan pemilik bot tersebut untuk menghubungi tertuduh.

Apabila pemilik bot berjumpa dengan tertuduh pada 11 Jun 2018, tertuduh meminta RM3,000 sebagai balasan untuk tidak melaporkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang boleh menyebabkan subsidi minyak bot terbabit dihentikan selain memulangkan semua barangan dan dokumen yang dirampas.

Sementara itu, perbicaraan terhadap rakan sekerja Khairul, Hizir Said, 43 pula ditetapkan pada 7 Ogos ini.

Hizir menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 28 (c) A SPRM 2009 kerana bersubahat bersama Khairul dalam melakukan kesalahan rasuah.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Aliff Farhan Hassan.

Berita Harian X