Selasa, 24 Julai 2018 | 4:30pm
STATUS yang tular di media sosial berkaitan kejadian penemuan mayat seorang lelaki di tepi Jalan Kuala Kelawang sebelum simpang ke Batu 14, Hulu Langat, Kajang, pagi tadi adalah palsu.
STATUS yang tular di media sosial berkaitan kejadian penemuan mayat seorang lelaki di tepi Jalan Kuala Kelawang sebelum simpang ke Batu 14, Hulu Langat, Kajang, pagi tadi adalah palsu.

Bukan kes curi organ

KAJANG: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di kepala dan badan di tepi Jalan Kuala Kelawang sebelum simpang ke Batu 14, Hulu Langat, di sini, pagi tadi.

Mayat lelaki berusia 20-an itu beralamat di Setapak, Kuala Lumpur itu ditemui orang awam kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata lelaki itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa mendapati terdapat beberapa tetakan pada badan dan kepala lelaki.

"Semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dalam bangunan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, tiada seberang senjata ditemui di lokasi kejadian.

"Kami turut menemui sebuah motosikal yang terletak berhampiran mayat mangsa dipercayai milik lelaki berkenaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek dan motif kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Berkaitan status tular di media sosial yang mengaitkan gambar kejadian dengan curi organ adalah berita palsu, sebaliknya ia adalah kes bunuh," katanya.

Berita Harian X