Selasa, 24 Julai 2018 | 7:38pm
BERPULUH-PULUH rumah papan musnah dalam kebakaran di Kampung Cenderamata 2 di Likas, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba
BERPULUH-PULUH rumah papan musnah dalam kebakaran di Kampung Cenderamata 2 di Likas, Kota Kinabalu. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di Kampung Cenderamata 2 di Likas, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
API dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat. - Foto Mohd Adam Arinin

150 rumah hangus, 1,000 hilang tempat tinggal

KOTA KINABALU: Hampir 1,000 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 150 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cenderamata 2, Likas di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain, selain diperbuat daripada papan.

Difahamkan, seorang wanita melecur di bahagian belakang badan akibat kejadian itu, namun tiada membabitkan kehilangan nyawa.

Kebanyakan penghuni tinggal sehelai sepinggan apabila tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk perabot serta peralatan rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Hamsah Isnurdini, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.17 petang sebelum menghantar lima jentera bersama 41 anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, sebanyak 10 rumah terbakar, bagaimanapun, jarak rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan pantas.

"Api berjaya dikawal pada jam 3 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.52 petang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

KEADAAN selepas kebakaran di Kampung Cenderamata 2 di Likas, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

MANGSA kebakaran menyelamatkan barang di Kampung Cenderamata 2 di Likas, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Hamsah berkata, pihaknya turut berhadapan dengan kesukaran ketika memadamkan kebakaran.

"Antaranya, rumah dibina dengan terlalu rapat sehingga menyukarkan anggota bomba mengawal api, laluan yang sempit dan orang terlalu ramai," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima bantuan daripada pasukan Bomba Sukarelawan kampung terbabit dan penduduk kampung.

"Penduduk kampung ramai yang cuba membantu memadamkan kebakaran, namun pihak bomba ada prosedur dalam memadam api bagi menghalang kebakaran merebak.

"Oleh itu, kerjasama daripada penduduk sangat diperlukan sekiranya berlaku kebakaran seperti ini," katanya.

Berita Harian X