Khamis, 26 Julai 2018 | 5:30pm

Waspada penipuan sindiket - ASNB

KUALA LUMPUR: Pelabur Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dinasihatkan tidak berkongsi maklumat peribadi atau mengikut arahan pemanggil yang mendakwa pegawai bank atau ASNB.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, berkata pelabur perlu sentiasa berwaspada jika ada pihak yang tidak dikenali bertanyakan maklumat peribadi dan pelaburan.

"Jika menerima sebarang panggilan yang mencurigakan, pelabur disarankan supaya tidak mudah panik dan tidak membuat sebarang transaksi membabitkan pengeluaran ASB atau unit amanah ASNB yang lain.

"Pelabur boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Ejen dan Perhubungan Pelanggan di talian 03-20573000 bagi mendapatkan kepastian berhubung panggilan yang diterima," katanya.

Mohammad berkata, pihaknya sentiasa komited melindungi wang pelabur dengan menggunakan sistem keselamatan terbaik.

"Namun, pelabur diminta untuk peka dan mengambil tahu tentang kewujudan sindiket seperti Macau Scam kerana ASNB tidak boleh membantu menggantikan wang pelaburan mereka sekiranya wang berkenaan dikeluarkan oleh pelabur sendiri selepas dipengaruhi sindiket berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis ringkas di Menara PNB hari ini, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati 1,000 unit Amanah Saham Wawasan 2020 kepada kakitangan ejen ASNB yang berjaya membantu seorang pelabur ASB daripada diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa menerima panggilan daripada seorang pemanggil yang menyamar sebagai pegawai bank dan mendakwa beliau terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram dan mengarahkan beliau memindahkan wang berjumlah RM120,000 untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

Pelabur berkenaan panik dan pergi ke cawangan ejen ASNB berdekatan untuk mengeluarkan semua wang pelaburan bagi dipindahkan ke akaun baharu seperti diarahkan pemanggil.

Bagaimanapun, pelabur berkenaan bernasib baik kerana keresahan beliau disedari oleh kakitangan ejen ASNB yang mengambil inisiatif untuk bertanya lebih lanjut dan kemudiannya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis.

Mengulas lanjut, Mohammad berkata bagi mengekang penipuan berkenaan pihaknya menganjurkan program pendidikan berasaskan pelaburan seperti Seminar Pelaburan 360 Hari.

"Menerusi program seperti ini, kami dapat berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai pelaburan, perancangan kewangan, produk dan perkhidmatan ASNB.

"Pada masa sama orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan bertanyakan terus kepada pegawai kami jika terdapat sebarang persoalan berkaitan ASNB," katanya.

Seminar Pelaburan 360 Hari yang dianjurkan ASNB setiap hari sejak 2003 itu sudah disertai 666,003 peserta dan dianjurkan di 6,918 lokasi seluruh negara sehingga 30 Jun lalu.

Berita Harian X