Sabtu, 28 Julai 2018 | 7:47am
KETUA Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas menerusi Ops Tapis di perhentian Bas Ekspres Bandar Letat, Sandakan.

Rampas syabu RM65,000

SANDAKAN: Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas syabu dianggarkan bernilai RM65,000 di perhentian Bas Ekspres Bandar Letat, dekat sini, semalam.

Kedua-dua suspek, masing-masing warga tempatan dan asing berusia 30-an ditahan pada jam 2.15 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Sandakan menerusi Ops Tapis.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pemeriksaan ke atas tubuh seorang suspek menemui satu beg yang di dalamnya mengandungi satu bungkusan paket plastik jernih berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

"Pemeriksaan ke atas tubuh seorang lagi lelaki tidak menjumpai apa-apa barang terlarang.

"Anggaran berat syabu yang dirampas ialah 1,015 gram dengan nilai pasaran RM65,000 dan ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif kandungan dadah," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azhar berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Berita Harian X