Selasa, 31 Julai 2018 | 7:15pm

Kes saman Bilal Philips, Zamihan diselesaikan secara baik

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah membabitkan pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Zamihan Mat Zin, di Mahkamah Tinggi di sini, berjaya diselesaikan secara baik.

Ia berikutan Zamihan bersetuju untuk menarik balik perkataan fitnah dan akan mengemukakan permohonan maaf melalui laman media sosial Facebook dalam tempoh dua hari.

Peguam Meor Amin Meor Omar Baki yang mewakili Bilal Philips, ketika ditemui berkata, Zamihan sebagai defendan juga akan menarik balik paparan yang memfitnah anak guamnya serta merta.

"Mahkamah juga membenarkan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi fitnah terhadap plaintif.

"Pihak defendan bersetuju untuk membayar ganti rugi yang jumlahnya tidak dapat didedahkan kepada umum. Selain itu, jaminan untuk kos RM30,000 yang dibayar oleh anak guam saya akan dipulangkan semula," katanya.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim merekodkan penghakiman persetujuan di dalam kamarnya di sini.

Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Zamihan.

Sementara itu, Bilal Philips ketika ditemui berkata, beliau tidak pernah terbabit dengan aktiviti pengganas malah menentang perbuatan itu sehingga Daesh menjadikannya sebagai sasaran untuk dibunuh.

"Saya bersyukur perkara ini selesai dan nama dapat dibersihkan serta kebenaran akan diketahui. Kegiatan saya terganggu dengan publisiti yang teruk akibat daripada salah faham oleh Zamihan.

"Saya harap selepas ini orang tahu siapa saya dan apa yang diperjuangkan. Salah faham itu menyakitkan, peranan saya sebagai canselor di Universiti Islam Online yang mempunyai 450,000 pelajar dari seluruh dunia juga terjejas akibat publisiti buruk ini," katanya.

Zamihan pula berkata, pihaknya bersyukur dapat mencapai sepakat untuk menyelesaikan kes tuntutan itu secara baik.

"Pada asasnya saya tidak menuduh beliau terbabit dengan keganasan. Terdapat salah faham kepada pernyataan saya sebelum ini dan saya sudah maklumkan kepada pihak peguam plaintif perkara itu.

"Saya juga memaklumkan kepada peguam sendiri untuk meleraikan salah faham itu. Saya tidak ada masalah peribadi atau pertikaian dengan plaintif, tiada pertuduhan terhadap beliau dan jika ada, saya memohon maaf," katanya.

Sebelum ini mahkamah sudah menetapkan tiga hari bermula hari ini untuk perbicaraan.

Bilal Philips selaku plaintif mengemukakan saman terhadap Zamihan kerana mendakwa defendan memfitnahnya melalui paparan bergambar yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, tahun lalu dengan mengaitkannya sebagai penyokong keganasan antarabangsa.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 29 September tahun lalu, Bilal Philips mendakwa defendan memuat naik gambarnya dan keterangan gambar dalam akaun Facebook Ustaz Zamihan Al Ghari pada 26 November 2016 yang mendakwa beliau seorang penyokong pengganas.

Bilal Philips mendakwa, paparan itu menunjukkan poster hebahan kuliah Maghrib khas yang disampaikan Zamihan pada 1 Disember 2016 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail, Kangar, Perlis.

Plaintif dengan itu menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan semula paparan itu, selain ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Zamihan dalam pernyataan pembelaannya pula berkata, beliau tidak tahu mengenai paparan bergambar itu yang tersebar di internet.

Defendan bagaimanapun menegaskan, pernyataan dalam paparan bergambar itu bukan fitnah terhadap plaintif kerana apa yang dinyatakan adalah fakta yang benar.

BILAL Philips (kiri) bersalaman dengan Zamihan selepas menyelesaikan kes saman secara baik di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X