Selasa, 31 Julai 2018 | 8:24pm
Keadaan dapur yang mengalami kerosakan teruk akibat dapur gas yang digunakan mangsa memasak tiba-tiba meletup di Evergreen Residency, Jalan Sebiew, Bintulu. - Foto Erika George
Keadaan dapur yang mengalami kerosakan teruk akibat dapur gas yang digunakan mangsa memasak tiba-tiba meletup di Evergreen Residency, Jalan Sebiew, Bintulu. - Foto Erika George

Melecur gas memasak meletup

BINTULU: Seorang wanita berusia 41 tahun parah, termasuk melecur pada bahagian kepala dan badan selepas tong gas tiba-tiba meletup di rumahnya di Evergreen Residency, Jalan Sebiew di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa sedang memasak untuk hidangan makan malam sebelum tong gas berkenaan meletup.

"Letupan yang kuat itu mencederakan muka wanita berkenaan, selain turut meranapkan bahagian dapur rumahnya," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mohamad berkata, wanita berkenaan dan keluarganya bernasib baik kerana letupan tidak menyebabkan rumah mereka terbakar.

"Sejurus menerima maklumat, seramai 13 anggota bersama tiga jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan.

"Mangsa dihantar ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian berlaku.

"Pemeriksaan awal kita mendapati kejadian berpunca dari saluran gas memasak berkenaan mengalami kebocoran hingga mengakibatkan berlakunya letupan, namun siasatan terperinci sedang dijalankan," katanya.

Berita Harian X