Rabu, 1 Ogos 2018 | 12:49pm
SUPT Mohamad Roy Suhaimi Sarif (kiri) menyerahkan tugas kepada Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baru Supt Noor Azmi Yusoff (kanan) disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju. - Foto Nurul Shafina Jemenon
SUPT Mohamad Roy Suhaimi Sarif (kiri) menyerahkan tugas kepada Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baru Supt Noor Azmi Yusoff (kanan) disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Klasifikasi kes bunuh dan khianat

KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan kes kebakaran yang menyebabkan seorang maut dan tiga cedera di Jalan Sentul, Kampung Kovil Hilir, di sini, jam 8.30 malam tadi sebagai kes bunuh serta berunsurkan khianat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati berlaku perselisihan faham antara seorang mangsa cedera dengan mangsa yang maut.

"Seorang mangsa yang tercedera dalam kejadian ini sudah ditahan polis. Dia yang berusia 33 tahun dikenal pasti sebagai suspek yang bertanggungjawab memulakan kebakaran.

"Kami percaya berlaku perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang maut dalam kejadian ini. Sebelum kejadian mereka dikatakan berjumpa di premis berkenaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju dan Pengerusi PERKEP Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju, di IPD itu, pagi tadi.

NSTP malam tadi melaporkan seorang dikhuatiri maut dan sekurang-kurangnya tiga cedera selepas sebuah bengkel motosikal di Jalan Sentul terbakar.

Tiga individu yang berada dalam bengkel termasuk seorang lelaki warga Pakistan melecur dalam kebakaran itu yang dipercayai bermula di bahagian bawah rumah kedai tiga tingkat itu.

Mazlan berkata, suspek yang juga pembekal aksesori motosikal kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain dua mangsa berusia 29 dan 46 tahun yang turut cedera termasuk seorang warga Pakistan dirawat di hospital sama.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek mencurahkan petrol ke badan mangsa yang berusia 51 tahun dan memulakan kebakaran. Kita membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat," katanya.

Berita Harian X