Rabu, 1 Ogos 2018 | 8:40pm

Bekas kerani tidak mengaku 14 tuduhan pecah amanah

KUANTAN: Bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap 14 tuduhan pecah amanah berjumlah RM102,401.30 sejak empat tahun lalu.

Tertuduh, S Anita, 39 dari Bukit Setongkol, di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai kerani di syarikat Gilson Fire Sales & Services melakukan pecah amanah dengan menunaikan 61 cek ke dalam akaun bank miliknya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu sejak 2 Julai 2014 hingga 10 Julai 2015 di syarikat berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan namun tertuduh dengan nada sebak memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan perlu menanggung ibu dan bapanya.

Siti Aminah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan tarikh 6 September depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

S Anita diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah RM102,401.30 sejak empat tahun lalu. - Foto Zulkepli Osman
S Anita diiringi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 14 pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah RM102,401.30 sejak empat tahun lalu. - Foto Zulkepli Osman
Berita Harian X