Jumaat, 3 Ogos 2018 | 12:29am
Keadaan kereta Myvi (kiri) dinaiki Nor Izzati Khairunnisa Asli, 19 (gambar kecil), remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan bas sekolah di Kampung Binjai Bongkok, Terengganu. - Foto Zaid Salim
Keadaan kereta Myvi (kiri) dinaiki Nor Izzati Khairunnisa Asli, 19 (gambar kecil), remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan bas sekolah di Kampung Binjai Bongkok, Terengganu. - Foto Zaid Salim

Penuntut USIM maut kemalangan

KUALA TERENGGANU: Penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas sekolah di Kampung Binjai Bongkok, Marang, hari ini.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa, Nor Izzati Khairunnisa Asli, 19, dari Kampung Manir, Kuala Terengganu dalam perjalanan menghala dari Rawai ke Bukit Payong, di sini, jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian berhampiran Kampung Binjai Bongkok, kenderaan dipandu mangsa jenis PERODUA Myvi dikatakan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung bas sekolah yang datang dari arah hadapan.

Katanya, berikutan kejadian itu, kenderaan dipandu mangsa remuk dan Nor Izzati yang tersepit di tempat duduk pemandu maut di tempat kejadian.

"Ketika kejadian mangsa yang memandu kenderaan milik kakaknya, Nor Asnida Asli, 32, bersendirian dalam kereta berkenaan," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, atas permintaan bapa mangsa, Asli Ngah, 60, yang tidak mengizinkan bedah siasat terhadap mayat anaknya, pihak hospital kemudian membenarkan jenazah Nor Izzati Khairunnisa dibawa pulang ke rumah keluarga untuk pengebumian.

Mohd Suhaimi berkata, pemandu bas terbabit, Ramli Sulong, 58, dari Kampung Tebakang Bukit Payong, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan lurus dua lorong manakala permukaan jalan kering dan rata.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X