Jumaat, 3 Ogos 2018 | 7:00am

Mahkamah Tinggi dengar permohonan keluarga penumpang MH370

KUALA LUMPUR: Majikan kepada sebuah restoran terkenal akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan gagal memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja berhubung pengambilan tenaga pekerja asing.

Restoran itu sebelum ini pernah viral akibat tindakan pekerjanya yang dilihat membasuh pinggan mangkuk dengan menggunakan air di lopak jalan di belakang premis mereka.

Majikan itu akan didakwa mengikut Seksyen 60K Akta Kerja 1955 yang membawa hukuman denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi, permohonan kebenaran semakan kehakiman lima ahli keluarga penumpang MH370 supaya dokumen penting berhubung penerbangan itu tidak diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 akan didengar.

PERMOHONAN kebenaran semakan kehakiman lima ahli keluarga penumpang MH370, di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto fail NSTP/Ghazali Kori
PERMOHONAN kebenaran semakan kehakiman lima ahli keluarga penumpang MH370, di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto fail NSTP/Ghazali Kori

Mereka ialah Tan Wei Hong, 18, dan Tan Wei Jie, 16, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 87, dan Lai Chew Lai, 85, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 78, selaku pemohon memfailkan permohonan itu minggu ini.

Mereka adalah waris kepada pasangan Tan Ah Meng, 46 dan isterinya Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45 dan anak sulungnya, Tan Wei Chew, 19 yang terbunuh dalam nahas itu.

Lima individu itu memohon perintah supaya beberapa dokumen yang sebelum ini diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dibatalkan.

Dokumen itu adalah rakaman atau transkrip komunikasi pesawat, surat perjanjian dengan Singapura, Thailand dan Indonesia, minit mesyuarat dengan agensi berkenaan, memo dalaman dan laporan pencarian serta penyelamatan.

Waris juga memohon perintah mandamus untuk responden mendedahkan dokumen itu dan perintah perisytiharan bahawa dokumen berkenaan bukan dokumen OSA.

Pada 28 Ogos 2015, waris itu juga ada memfailkan saman kecuaian dan kemungkiran kontrak terhadap Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan empat lagi.

Ah Meng, seorang pengarah sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan, dan isterinya, Hsiu Ling, bersama anak sulung mereka, Wei Chew berada dalam penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 sebelum disahkan berakhir di Lautan Hindi.

Sementara itu, enam kes pertuduhan jenayah terhadap pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, akan disebut semula di Mahkamah Petaling Jaya.

DATUK Farid Kamil Zahari (kanan) ditemani isteri, Datin Diana Danielle keluar dari Mahkamah Majistret selepas mendengar sebutan semula kes didakwa mencederakan anggota polis dan memasukkan dadah serta beri keterangan palsu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, 29 Jun lalu. - Foto Owee Ah Chun
DATUK Farid Kamil Zahari (kanan) ditemani isteri, Datin Diana Danielle keluar dari Mahkamah Majistret selepas mendengar sebutan semula kes didakwa mencederakan anggota polis dan memasukkan dadah serta beri keterangan palsu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, 29 Jun lalu. - Foto Owee Ah Chun

Sebelum ini Farid sudah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan semua kes yang dihadapinya.

Pada 16 Januari, Farid Kamil berdepan empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, pada jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC) iaitu 11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, kira-kira jam 4.30 petang, tarikh sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa atas pertuduhan mereka-reka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis, dengan memasukkan keterangan tidak benar.

Berita Harian X