Jumaat, 3 Ogos 2018 | 8:30pm

Rumah bekas penyampai berita TV3 terbakar

SHAH ALAM: Rumah bekas penyampai berita TV3, Nasharudin Tajudin, di Seksyen 20, di sini, musnah 80 peratus akibat kebakaran petang tadi.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.50 petang itu turut memusnahkan dua kereta jenis Hyundai miliknya.

Nasharudin berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur di bahagian belakang rumah, manakala seorang anaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Anak saya beritahu, dia berasa panas dan terus keluar mencari punca panas itu.

"Dia terkejut apabila melihat bahagian atas garaj kereta sudah terbakar dan terus mengejutkan saya," katanya.

NASARUDIN Tajudin di Seksyen 20, Shah Alam musnah 80 peratus akibat kebakaran. - Foto Faiz Anuar

Beliau dan anaknya terus keluar mengikut pintu belakang berikutan risau berlakunya lintas pintas.

"Saya reda dengan kejadian ini. Seorang anak saya mengalami cedera ringan di bahagian tangan terkena serpihan plastik terbakar ketika cuba memadam kebakaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 Shah Alam, Azmel Kamarudin, berkata, dipercayai kebakaran terbabit bermula dari bahagian hadapan rumah.

Katanya, api terbabit merebak ke kawasan bumbung dan menyebabkan bumbung itu runtuh.

"Keadaan kawasan dalam rumah tidak terbakar tetapi ia rosak teruk disebabkan atap yang runtuh.

"Bahagian tepi bumbung rumah jiran sebelah mangsa juga terbakar sedikit. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

NASARUDIN Tajudin (kanan) melihat keadaan rumahnya yang musnah 80 peratus akibat kebakaran di Seksyen 20, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
NASARUDIN Tajudin di Seksyen 20, Shah Alam musnah 80 peratus akibat kebakaran. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X